Tuesday, 18 October 2011

SuSu SOYA

Tiada bukti saintifik susu soya sesuai untuk pembesaran bayi

Salam,                             
Dikongsikan bersama....Mengenai SUSU SOYA

BERITA HARIAN, 24 Jun 2009.

SURAT ini ditulis atas kebimbangan terhadap berleluasanya aktiviti pengiklanan mengenai kebaikan susu formula bayi berasaskan kacang soya di media massa.
Kami sebagai pakar perubatan kanak-kanak, ingin menerangkan dengan terperinci mengenai kesan atau keadaan di mana penggunaan susu soya boleh disyorkan berdasarkan kepada maklumat saintifik terkini.
Susu ibu adalah pilihan terbaik untuk bayi yang sedang membesar. Sekiranya, penyusuan susu ibu tidak dapat diteruskan atas sebab tertentu, susu formula bayi berasaskan protein lembu adalah pilihan alternatif yang disyorkan. Protein soya adalah berasal dari sumber tumbuhan.
Secara amnya, kualiti protein dari sumber tumbuhan adalah lebih rendah berbanding kualiti protein dari sumber susu manusia atau dari sumber susu lembu.
Ia disebabkan kekurangan sesetengah jenis asid amino yang amat diperlukan untuk pertumbuhan fizikal yang sihat.

Tambahan pula, susu soya mengandungi kandungan aluminium dan “phyto-oestrogens” berlebihan yang kesan jangka panjangnya terhadap tubuh badan manusia masih belum diketahui dengan terperinci buat masa ini.
Banyak badan profesional seperti Akademi Pediatrik Amerika, Persatuan Gastroenterologi dan Nutrisi Pediatrik Eropah serta Persatuan Perubatan Australia tidak mengesyorkan penggunaan susu berasaskan protein soya kepada bayi pramatang dan bayi berusia kurang dari enam bulan.
Penggunaan susu soya hanyalah terhad kepada kanak-kanak yang menghidapi penyakit ‘Galactosaemia’ iaitu sejenis penyakit metabolik yang jarang berlaku dan kanak-kanak yang menghadapi masalah ‘Isolated Lactose-intolerance’ iaitu ketidakbolehan menghadamkan gula laktosa yang terkandung di dalam susu lembu dan manusia.
Kami juga turut melihat trend penggunaan susu soya sebagai susu gantian ketika berlaku cirit-birit. Susu soya dipercayai boleh memendekkan tempoh jangka masa cirit-birit. Ingin ditegaskan bahawa setakat ini, tiada bukti saintifik menyokong kenyataan di atas.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyarankan kepentingan strategi memastikan pengambilan cecair dan elektrolit yang mencukupi ketika cirit-birit.
Penggunaan susu berasaskan protein soya hanya terhad untuk jangka masa pendek kepada kanak-kanak yang disahkan mempunyai masalah menghadamkan gula laktosa disebabkan cirit-birit (secondary lactose intolerance) dan tidak perlu disambung penggunaannya untuk tempoh jangka masa panjang.
Susu berasaskan protein soya juga sering disyorkan kepada bayi yang mempunyai masalah radang perut atau kolik oleh ramai pengamal perubatan. Realitinya, tiada bukti saintifik menyokong amalan berkenaan.
Tambahan pula, masalah kolik di kalangan bayi tidak memerlukan sebarang rawatan spesifik kerana masalah ini tidak berbahaya dan akan pulih dengan sendirinya.
Penggunaannya di dalam rawatan asma adalah satu lagi keadaan di mana susu berasaskan protein soya digunakan tanpa indikasi tepat. Sekali lagi, tiada bukti saintifik yang menyokong amalan ini.
Peranan susu berasaskan protein soya di dalam rawatan masalah alahan kepada protein lembu tidak dapat dinafikan, tetapi ingin ditegaskan di sini bahawa masalah alahan protein lembu jarang berlaku dan sekiranya berlaku, penggunaan susu berasaskan protein soya hanya terhad untuk bayi berusia 6 bulan ke atas yang disahkan oleh pakar perubatan bahawa bayi mempunyai masalah ini.

Kami berharap penerangan yang diberikan dapat meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai peranan susu berasaskan protein soya. Ia adalah satu sumber nutrisi alternatif, tetapi penggunaannya terhad kepada keadaan tertentu saja.

PROFESSOR DR LEE WAY SEAH,
Presiden Kolej Pediatrik
Akademi Perubatan
Malaysia.
DR SOO THIAN LIAN,
Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia

No comments:

Post a Comment